BELURU: Program Jerayawara Bubur Lambuk 4.0 anjuran PEMADAM Daerah Beluru berlangsung meriah di Perkarangan Pejabat Daerah Beluru serta Pekan Lapok pada Selasa.
Bertemakan “Jauhi Dadah, Hidup Penuh Erti”, program ini bertujuan mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat serta menyebarkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Pegawai Daerah Beluru merangkap Pengerusi PEMADAM Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu, hadir bersama beberapa tetamu kehormat, termasuk Pengerusi Majlis Daerah Marudi, Cr Edward Mendai, Pengetua SMK Bakong, Casimir Igat, serta Penghulu Abdullah Samat dan Penghulu Nora Ree yang mewakili masyarakat Melayu dan Iban di kawasan tersebut.
Sebanyak 500 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada orang awam di sekitar Pekan Beluru dan Pekan Lapok, mencerminkan semangat kebersamaan dan kepedulian masyarakat setempat.
Program ini juga menjadi platform bagi PEMADAM Daerah Beluru untuk terus memperjuangkan kesedaran bahaya dadah serta mengajak masyarakat untuk menjauhi gejala negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Penganjuran program ini mendapat sambutan menggalakkan dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan hubungan antara masyarakat serta menyebarkan mesej positif kepada orang ramai.-EDISI UKAS