KUCHING: Raptai penuh bagi acara penghayatan semula Ulang Tahun Ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 yang berlangsung di Padang Merdeka, di sini berjalan dengan lancar.
Sesi raptai diadakan dalam tiga sesi bagi memastikan perjalanan acara yang akan berlangsung pada Khamis berjalan seperti yang dirancang.
Program bersejarah ini akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Difahamkan, empat penerjun dari Pasukan Khas Udara (PASKAU) membuat terjunan pada ketinggian 6,000 kaki di udara dari pesawat CN235 yang dikendalikan oleh Lieutenant Colonel Ahmad Syazwan Mohamed dan Mejar Mohd Zafril dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Penghayatan semula acara ini merupakan peristiwa penting yang melibatkan misi khas yang dijalankan oleh Unit Khas Z Australia ketika Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.
Pasukan ini pada 80 tahun yang lalu melakukan penerjunan payung ke Bario untuk bergabung dengan komuniti tempatan dalam usaha menentang tentera Jepun.
Orang ramai diingatkan penutupan jalan akan dibuat pada Khamis melibatkan Jalan Wawasan ke Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Tun Abang Haji Openg menghala ke Padang Merdeka (Mahkamah Lama) dan Jalan Tun Abang Haji Openg bermula jam 8.30 hingga 11 pagi. -EDISI UKAS