Datuk Rubiah Meriahkan Program Jelajah Amal Bubur Lambuk Parlimen Kota Samarahan

Disiarkan pada 26 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, telah hadir untuk memeriahkan Program Jelajah Amal Bubur Lambuk Parlimen Kota Samarahan yang diadakan di Surau Cahaya Islam Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu 12.

Program ini dianjurkan bersama ahli Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Parlimen Kota Samarahan Zon Stakan dengan tujuan menyemarakkan semangat kebersamaan dan menggalakkan amalan bersedekah sepanjang bulan Ramadan.

Aktiviti gotong-royong yang melibatkan penyediaan dan pengedaran bubur lambuk bukan sahaja mempereratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, tetapi turut memberi peluang untuk menyantuni golongan yang memerlukan.

Dalam ucapan beliau, Datuk Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berharap agar ukhuwah yang terjalin melalui program seperti ini dapat diteruskan.

Beliau juga menekankan kepentingan menjadikan Ramadan sebagai bulan penuh keberkatan dan sebagai medan untuk meningkatkan keprihatinan terhadap masyarakat sekitar.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Wanita PBB Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan Lela Adini dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) RPR Batu 12 Razali Jahari. -EDISI UKAS