Peringatan Ke-80 Operasi Semut 1945: Sejarah Bario Sebagai Tapak Pembebasan Sarawak

Disiarkan pada 26 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


BARIO: Acara Peringatan Antarabangsa ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 diadakan dengan penuh penghormatan di Bario Memorial Park, menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk wakil dari Australia, New Zealand, Britain, serta veteran dan waris anggota Z Special Unit. 
 
Program anjuran Rurum Kelabit Sarawak ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Sarawak, agensi kerajaan, serta badan ketenteraan antarabangsa.
 
Majlis ini memperingati penerjunan lapan anggota Z Force Special Unit pada 25 Mac 1945, yang menjadi titik tolak kepada pembebasan Sarawak daripada pendudukan Jepun. 
 
Dalam ucapannya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala menegaskan bahawa peristiwa ini mencerminkan kepercayaan tentera Sekutu terhadap masyarakat Kelabit yang memberi sokongan penuh kepada perjuangan Z Force.
 
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, mengumumkan geran RM100,000 bagi menyokong penganjuran acara ini dan menyatakan bahawa kerajaan akan terus memperkasa pelancongan sejarah perang. 
 
Lakonan semula pendaratan payung terjun Operasi Semut 1945 juga akan diadakan di Padang Merdeka, Kuching pada 27 Mac 2025, menjadikannya acara pelancongan bertaraf antarabangsa.
 
Kehadiran Pesuruhjaya Tinggi Australia, New Zealand dan Britain, bersama wakil tentera dan keluarga anggota Z Force, menunjukkan kepentingan sejarah Bario dalam hubungan ketenteraan dan diplomatik antarabangsa. 
 
Turut hadir ialah keturunan wira Z Force, termasuk keluarga mendiang Jack Tredea dari Australia serta Presiden Z Special Unit & SAS Association of Western Australia, Brian Edward Ralph.
 
Sebagai langkah pemuliharaan, pihak penganjur mencadangkan agar Bario Memorial Park dinaik taraf sebagai tapak bersejarah utama di Sarawak. 
 
Acara ini juga mengukuhkan warisan sejarah suku Kelabit, yang sejak dahulu memainkan peranan penting dalam pertahanan dan keselamatan negara, termasuk menyertai pasukan Border Scouts, tentera dan polis selepas Perang Dunia Kedua.
 
Majlis diakhiri dengan upacara meletakkan kalungan bunga sebagai penghormatan kepada para pejuang. 
 
Penganjur berharap peringatan tahunan ini akan terus menarik minat pelancong, penyelidik dan generasi muda untuk memahami sejarah perjuangan Sarawak dan mengiktiraf keberanian wira-wira yang telah berkorban demi kebebasan.-EDISI UKAS