RM175,000 Geran MRP Disalurkan Kepada JKKK & Persatuan Di Bario

Disiarkan pada 26 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


BARIO: Sebanyak RM175,000 telah disalurkan kepada 10 penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan serta pertubuhan menerusi Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dalam satu majlis penyampaian yang berlangsung di Dewan Masyarakat Bario pada Selasa.
 
Majlis penyerahan geran ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, yang menekankan kepentingan penggunaan dana secara berkesan demi manfaat komuniti setempat.
 
“Jumlah geran yang diberikan ini adalah berdasarkan permohonan yang dikemukakan kepada pejabat saya. 
 
"Saya berharap setiap penerima dapat memanfaatkan peruntukan ini dengan sebaiknya bagi kepentingan komuniti mereka,” katanya semasa sesi taklimat ringkas.
 
Beliau turut mengingatkan agar setiap penerima memaklumkan penggunaan dana tersebut kepada ahli-ahli kampung masing-masing, bagi memastikan ketelusan dalam pengagihan peruntukan yang diberikan.
 
“Saya juga ingin menegaskan supaya setiap penerima memaklumkan kepada pejabat saya berkenaan perbelanjaan dari peruntukan ini. 
 
"Ini penting bagi memastikan dana yang diberikan benar-benar digunakan untuk tujuan yang telah dirancang,” tambahnya lagi.
 
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memperkasakan komuniti luar bandar menerusi sokongan kewangan kepada JKKK dan pertubuhan tempatan bagi meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi di kawasan pedalaman.-EDISI UKAS