LIMBANG: Dengan matlamat sifar kemalangan jalan raya semasa Aidilfitri, Kempen Keselamatan Jalan Raya Daerah Limbang dan Program Sedekah Ramadan telah dianjurkan di Jalan Kubu, Limbang pada Selasa.
Program ini merupakan usaha bersepadu Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Limbang bersama Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Bahagian Limbang, Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Limbang dan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Limbang bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna jalan raya menjelang perayaan.
Majlis yang menghimpunkan lebih 100 peserta itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang.
Menurut Dato Paulus, musim perayaan sering menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
Oleh itu, kempen ini diadakan bagi memastikan setiap pengguna lebih berwaspada serta mengutamakan keselamatan ketika memandu atau menunggang motosikal.
“Kempen ini bukan sekadar program tahunan, tetapi satu usaha serius untuk menyelamatkan nyawa. Kita mahu masyarakat lebih berdisiplin di jalan raya dan memastikan perjalanan pulang ke kampung halaman selamat.
"Harapan kita, Aidilfitri tahun ini disambut dengan kegembiraan tanpa sebarang tragedi kemalangan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Brunei Darussalam atas persetujuan melanjutkan tempoh operasi CIQS di Tedungan, Pandaruan dan Mengkalap sehingga jam 12 tengah malam.
Langkah ini dijangka memudahkan pergerakan penduduk Limbang dan Lawas ke negara jiran bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan sahabat handai tanpa kesesakan melampau di pintu sempadan.
Sebagai langkah proaktif, sebanyak 30 unit topi keledar telah diedarkan kepada penunggang motosikal sebagai simbol kepentingan keselamatan ketika berada di jalan raya.
Selain itu, risalah keselamatan jalan raya turut diberikan kepada pengguna jalan, bersama pek kuih Ramadan sebagai tanda kebersamaan menjelang Aidilfitri.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Kempen seperti ini diharap dapat memberi kesedaran yang lebih mendalam kepada masyarakat, agar kita tidak mengambil ringan aspek keselamatan di jalan raya,” tambahnya.
Kempen ini bukan sahaja berperanan sebagai langkah pencegahan kemalangan, malah turut memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam komuniti, memastikan setiap perjalanan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri berjalan dengan selamat dan lancar.-EDISI UKAS