Program Didik Kasih Madani Bantu Ringankan Beban Ibu Bapa di Tatau

Disiarkan pada 26 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS

 
TATAU: Seramai 30 pelajar dari pelbagai sekolah di Daerah Tatau telah menerima sumbangan dalam Program Didik Kasih Madani Kembali ke Sekolah Tahun 2025 yang dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak dengan kerjasama Bank Muamalat.
 
Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Tatau itu dihadiri oleh beberapa tetamu kehormat, antaranya Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pembangunan Negeri Sarawak Hafizul Din Mahmud @ Hamdan; Pegawai Tadbir Daerah Tatau, Raden Azamry Raden Perhan.
 
Dalam ucapan perasmiannya, Raden Azamry Raden Perhan menyatakan penghargaan kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak dan Bank Muamalat atas inisiatif memilih penerima dari Daerah Tatau. 
 
Beliau turut berharap agar program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai usaha membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.
 
Sumbangan yang diberikan dalam program ini merangkumi alat tulis serta wang tunai, bertujuan untuk memastikan pelajar yang memerlukan mendapat sokongan sewajarnya bagi menghadapi sesi persekolahan dengan lebih baik.
 
Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, tetapi turut mencerminkan keprihatinan pelbagai pihak dalam membantu masyarakat setempat, khususnya dalam bidang pendidikan.-EDISI UKAS