MKJR Anjur Kempen Keselamatan Jalan Raya Lawas 2025

Disiarkan pada 26 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Limbang menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Daerah Lawas 2025 di hadapan Pasar Besar Lawas baru-baru ini.
 
Hadir menyempurnakan program tersebut ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang turut menyampaikan bubur lambuk kepada wakil jabatan-jabatan kerajaan yang hadir.
 
Dalam ucapannya, Dato Henry menyeru pengguna jalan raya agar lebih berhemah semasa memandu, memastikan kenderaan diperiksa sebelum perjalanan jauh, serta merancang perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri mengikut waktu yang sesuai.
 
Sebanyak 600 pek bubur kacang sumbangan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta 300 pek bubur lambuk sumbangan MKJR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diagihkan kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.
 
Selain itu, sebanyak 20 unit topi keledar dan kit keselamatan jalan raya telah diserahkan kepada penunggang motosikal yang hadir, sebagai usaha untuk menggalakkan pemakaian topi keledar demi keselamatan mereka di jalan raya.
 
Program ini berakhir pada jam 4 petang dengan penyerahan bubur lambuk kepada kenderaan yang melalui kawasan tersebut.
 
Dengan penganjuran kempen ini, diharapkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dapat dipertingkatkan, sekaligus mengurangkan kadar kemalangan di musim perayaan.
 
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan, Ketua Cawangan JPJ Lawas Hadri Rahman, serta Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Limbang Awangku Mohd Shahrizan Awangku Maidin.-EDISI UKAS