Kerjasama Komuniti-PDRM Penting Demi Kesejahteraan, Keselamatan Awam

Disiarkan pada 25 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Kerjasama erat antara masyarakat dan pasukan PDRM amat penting dalam memastikan kesejahteraan serta keselamatan komuniti terus terpelihara.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata IPD Mukah sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan jabatan kerajaan dan swasta bagi menjamin ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“IPD Mukah akan sentiasa bersedia untuk menjalinkan hubungan erat dengan semua pihak bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dapat terus dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah pada Selasa.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip serta wakil Ahli Parlimen Mukah Almalhakim Norshidi.

Beliau turut menyampaikan amanat Ketua Polis Negara yang menegaskan bahawa PDRM, kini berusia 218 tahun terus komited dalam menghadapi cabaran demi mengekalkan kedaulatan negara.

“Menjangkau usia 218 tahun, PDRM kekal teguh mendepani evolusi yang mencabar dalam memelihara keselamatan negara serta ketenteraman awam.

“Prinsip ‘Striving for Excellence’ menjadi pegangan setiap warga Sang Saka Biru dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” ujarnya.

Selain itu, beliau mengingatkan warga IPD Mukah untuk sentiasa bersikap matang dalam melaksanakan tugas harian, seiring dengan usia pasukan yang telah berkhidmat lebih dua abad.

Semangat ‘Esprit De Corps’ juga perlu diperkukuhkan dalam kalangan pegawai dan anggota bagi memastikan integriti pasukan keselamatan negara terus terpelihara.

Majlis ini turut menyaksikan penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada dua penerima, serta 14 penerima lain menerima sijil penghargaan PJPN.

Beberapa pegawai dan anggota IPD Mukah yang menunjukkan prestasi cemerlang turut menerima sijil penghargaan sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka.-EDISI UKAS