APMM Perkasa Pengawasan Perairan Sarawak Dengan Projek Bernilai RM200 Juta

Disiarkan pada 25 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus memperkukuh kawalan keselamatan perairan Sarawak dengan beberapa projek pembangunan strategik bernilai RM200 juta yang telah diluluskan.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata antara projek utama adalah pembangunan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang melibatkan pemasangan radar di tiga lokasi iaitu Canada Hill di Miri, Bukit Nyabau di Bintulu dan Tanjung Datu di Kuching.

“Dengan adanya projek ini, kita akan berjaya dengan keupayaan pengawasan laut akan lebih mantap dalam mengekang aktiviti yang tidak diingini, khususnya dalam memastikan kedaulatan Sarawak daripada ancaman luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Selasa.

Selain itu, beliau turut mengumumkan perolehan kapal baharu, Mothership MBMS Multi-Purpose Spaceship berukuran 99 meter, hasil perjanjian yang ditandatangani di Turki baru-baru ini.

Kapal tersebut akan ditempatkan di perairan Sarawak dan dilengkapi empat bot laju untuk rondaan lebih efektif.

Menurutnya, APMM juga telah berjaya mengekang pencerobohan bot nelayan asing, khususnya dari Vietnam, dengan statistik terkini menunjukkan kadar sifar pencerobohan di perairan Sarawak.

“Kejayaan ini turut didukung melalui kerjasama erat dengan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS),”ujarnya.

Dalam usaha meningkatkan keupayaan operasi, APMM turut merancang penambahan aset serta anggota.

Setakat ini, kekuatan anggota seramai 648 orang dijangka meningkat sejajar dengan pertambahan bot, kapal dan pembangunan sistem radar baharu.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM, Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim, serta beberapa pegawai kanan APMM.-EDISI UKAS