KUCHING: Sarawak kini berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja mahir, khususnya dalam kalangan tukang kimpal, susulan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur berskala besar di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, isu ini semakin ketara apabila banyak kontraktor melaporkan kesukaran mendapatkan tenaga kerja mahir tempatan, selain peraturan imigresen yang ketat menyukarkan pengambilan pekerja asing.
“Saya telah dimaklumkan mengenai masalah ini oleh para kontraktor.
"Oleh itu, saya berharap I-Cats University College dapat membantu mengatasi isu ini,” katanya semasa menerima kunjungan hormat daripada delegasi universiti tersebut yang diketuai Naib Canselor dan Presidennya, Prof Emeritus Datuk Ts Dr Mohamad Kadim Suaidi, pada Selasa.
Menurut beliau, di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, kerajaan negeri kini giat melaksanakan pelbagai projek infrastruktur utama di seluruh Sarawak.
“Kementerian saya iaitu Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, mempunyai kira-kira RM30 bilion nilai projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan.
Selain itu, terdapat dua projek besar yang bakal dilaksanakan, iaitu pembinaan lapangan terbang baharu serta pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan harapan agar I-Cats University College dapat memainkan peranan penting dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri.-EDISI UKAS