MUTS Komited Tingkatkan Tadbir Urus & Perkhidmatan Kepada Rakyat

Disiarkan pada 24 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) terus komited untuk meningkatkan tadbir urus yang lebih efisien dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, penyertaan MUTS dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 dan Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) merupakan langkah awal Kementerian untuk memartabatkan budaya kerja berintegriti dalam kalangan kakitangannya.

Menurut beliau, MUTS turut mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Polisi Kualiti Kementerian untuk memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan dan memastikan kecemerlangan operasi di semua peringkat.

“Penyertaan MUTS dalam AKPANS dan AIGA merupakan usaha yang sangat baik bagi menyokong dasar tadbir urus yang efisien serta memartabatkan integriti sebagai budaya kerja di kementerian dan pelancaran Polisi Kualiti Kementerian juga akan memastikan kita semua dapat menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengagihan Bubur Pedas dan Penyerahan Sumbangan Perayaan Anjuran Kelab Sukan Dan Rekreasi (KESURIA) MUTS, di sini pada Isnin.

Terdahulu dalam majlis sama, Setiausaha Tetap MUTS Datu Jafri Lias memaklumkan, pelancaran Polisi Kualiti Kementerian akan menjadi garis panduan kepada semua bahagian dan jabatan dalam Kementerian untuk mencapai tahap perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi turut berkesempatan mengagihkan bubur pedas kepada seluruh warga kerja MUTS yang hadir, yang mana lebih manis lagi disertakan dengan sumbangan perayaan bukan sahaja untuk Hari Raya, malah untuk semua perayaan di Sarawak.

“Sumbangan perayaan pada hari ini adalah sempena seluruh perayaan sepanjang tahun 2025 termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Gawai Dayak dan sebagainya,” ujar beliau.

Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki, Timbalan Setiausaha Tetap MUTS Syed Mohamad Fauzi Shahab serta tetamu yang lain. -EDISI UKAS