
KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu serius dalam menaik taraf tandas di semua aliran sekolah di seluruh negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek berkata, perkara tersebut harus ditangani dengan serius bagi memastikan semua sekolah di seluruh negara mendapat akses kepada kemudahan tandas yang bersih dan selamat.
Katanya, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan RM1.4 bilion untuk menaik taraf tandas di semua aliran sekolah di seluruh negara bertujuan memastikan pelajar mendapat akses kepada kemudahan tandas yang bersih dan selamat dengan penyiapan pada November 2023.
“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati hanya sekolah kerajaan sahaja yang menerima dana.
“Malangnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Mubaligh dan sebahagiannya telah diabaikan dan tidak mendapat dana di bawah program naik taraf tandas sekolah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Khamis.
Jelasnya, surat rayuan berhubung pekara itu sudah dikemukakan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia Lim Hui Ying padah tahun lepas, namun tiada sebarang maklum balas diterima walaupun selepas portfolionya bertukar kepada Timbalan Menteri Kewangan Malaysia. – EDISI UKAS