BINTULU: Jambatan Bintulu-Jepak disifatkan sebagai mercu tanda ikonik baharu di Bintulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menyatakan kebanggaannya terhadap pembinaan jambatan tersebut yang disifatkan juga sebagai simbol kemajuan dan pembangunan pesat di Sarawak.
“Seperti yang dikatakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Jambatan Bintulu-Jepak ini boleh diibaratkan sebagai versi ‘Golden Gate’ Sarawak.
“Saya juga berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat melihat kesungguhan kerajaan Sarawak dalam membangunkan negeri ini,” katanya.
Menurut beliau, pembukaan jambatan ini akan membawa pelbagai manfaat kepada penduduk setempat, termasuk mempercepatkan perjalanan antara Bintulu dan Jepak serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kedua-dua kawasan.
“Dengan kemudahan yang lebih baik, kita dapat menarik lebih ramai pelabur dan membangunkan Bintulu bukan hanya sebagai bandar industri, tetapi juga sebagai tempat tinggal yang selesa, sihat dan dinamik,” tambahnya.
Dalam ucapannya juga, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), khususnya Datuk Patinggi Abang Zohari atas peruntukan yang disalurkan bagi pembinaan jambatan ini.
Beliau berharap pembangunan berterusan di bawah kepimpinan Premier akan membawa Sarawak ke arah masa depan yang lebih gemilang.-EDISI UKAS