SRI AMAN: Dalam usaha menyelami keperluan serta masalah penduduk setempat, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis telah mengadakan program lawatan rumah ke rumah di kawasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Cina, Batu Lintang, di sini pada Ahad.
Program ini bertujuan untuk mendekati komuniti Cina di kawasan tersebut, melibatkan 35 buah keluarga di bawah pimpinan Ketua Kaum, Kapitan Goh Teo Soon.
Lawatan tersebut juga memberi peluang untuk melihat lebih dekat masalah yang dihadapi oleh mereka serta mencari cadangan penyelesaian melalui kerjasama dengan kerajaan negeri.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Francis Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang diiringi oleh Ketua Masyarakat Cina Luar Bandar Simanggang Penghulu Kang Tai Kong.
Rombongan beliau telah meluangkan masa untuk mengunjungi 18 buah rumah kediaman penduduk Cina setempat.
Sebagai tanda penghargaan, setiap keluarga yang dikunjungi telah menerima sumbangan hamper makanan yang disediakan oleh JKKK Kampung Cina Batu Lintang, yang mana disampaikan oleh Datuk Francis Harden.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, tetapi juga mempereratkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat setempat. -EDISI UKAS