KOTA SAMARAHAN: Dalam usaha memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan sepanjang bulan Ramadan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim telah meraikan seramai 81 asnaf dalam Program Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan 2025 yang diadakan di Kampung Binyuk Lama dan Kampung Sungai Pendam.
Program yang berlangsung pada Ahad di Masjid Darul Falah, Kampung Binyuk Lama itu menyaksikan sumbangan wang tunai disampaikan kepada 50 asnaf di Kampung Binyuk Lama dan 50 asnaf di Kampung Binyuk Lot.
Selain itu, Datuk Hamzah turut memberikan sokongan kepada aktiviti keagamaan dengan menyumbang RM2,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Darul Falah serta RM1,500 kepada JKP Surau Darul Furqan.
Di Surau Kampung Pendam, seramai 31 asnaf turut menerima bantuan berupa wang tunai, sementara JKP Surau Kampung Pendam pula menerima sumbangan RM1,500 bagi meringankan beban pengurusan surau menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Dalam ucapannya, Datuk Hamzah berharap sumbangan tersebut dapat memberi manfaat kepada penerima dan memperkukuhkan peranan masjid serta surau sebagai pusat pembangunan komuniti.
“Semangat kebersamaan dan keprihatinan seperti ini amat penting, terutama dalam bulan yang penuh keberkatan ini dan diharapkan sumbangan ini dapat membantu mereka yang memerlukan serta mengeratkan hubungan antara masyarakat,” katanya.
Program itu turut dihadiri Penghulu Kampung Pangkalan Kuap Buhari Abu Sapian, Ketua Kaum Kampung Binyuk Lama Zambri Mohi dan Ketua Kaum Kampung Sungai Pendam Farida Zainuddin. -EDISI UKAS