Penerima Sumbangan Program Sinar Syawal YKN 2025 Luah Rasa Syukur

Disiarkan pada 24 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Program Sinar Syawal YKN 2025 yang berlangsung di Mydin Vista Tunku Kuching pada Ahad membawa kegembiraan kepada golongan memerlukan, apabila mereka menerima sumbangan pakaian raya bagi menyambut Aidilfitri.

Program tajaan bersama Alliance Islamic Bank Berhad ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Dato’ Sri Nancy Shukri.

Salah seorang penerima, Siti Noraishah, 51, dari Kampung Semerah Padi meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima khususnya bagi keperluan anak-anaknya.

“Kami memang menghadapi kesukaran untuk membeli barang keperluan raya kerana keadaan kewangan yang terhad. Dengan adanya sumbangan ini, ia sedikit sebanyak meringankan beban kami,” katanya.

Selain pakaian raya, Siti Noraishah berharap bantuan seperti barangan keperluan dapur dan kuih raya turut dapat disediakan kepada golongan kurang berkemampuan.

Munirah Abdul Rahman, 35, dari Kampung Bintawa Hilir turut berkongsi kegembiraannya selepas menerima sumbangan tersebut.

“Alhamdulillah, kami gembira kerana dapat membeli pakaian raya untuk anak-anak. Ini membantu meringankan beban kami,” ujarnya sambil berharap agar sumbangan lain seperti barangan dapur dapat diberikan pada masa akan datang bagi membantu keluarga berpendapatan rendah.

Seorang lagi penerima, Hasmah Sarkawi, 45, dari Kampung Rampangi, juga melahirkan rasa terharu atas bantuan yang diterima.

“Bantuan ini sangat membantu, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyumbang,” katanya.

Kesemua penerima merakamkan penghargaan kepada YKN, Dato’ Sri Nancy Shukri dan pihak penaja atas keprihatinan dalam membantu golongan memerlukan sempena sambutan Aidilfitri.-EDISI UKAS