KOTA SAMARAHAN: Program Ramadan DUN Stakan 2025 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Stakan telah melabuhkan tirainya pada malam Ahad di Masjid Darul Malihah, Kampung Bukit Berangan.
Program yang berlangsung selama lima hari bermula dari 18 hingga 22 Ramadan ini telah berjaya mencapai objektifnya untuk membantu golongan asnaf dan menyokong aktiviti keagamaan di masjid dan surau sekitar kawasan DUN Stakan.
Seramai 800 asnaf dan 14 masjid serta surau di kawasan DUN Stakan telah menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim.
Program ini dimulakan di Surau Al-Baqarah Skim Pembesaran Jawa Semenggok dan berakhir di Masjid Darul Malihah Kampung Bukit Berangan.
Sepanjang program ini, Datuk Hamzah sendiri mengetuai penyampaian sumbangan berupa wang tunai kepada asnaf melibatkan Kampung Jawa Semenggok, RPR Batu 12, Kampung Sri Arjuna, Kampung Stakan Melayu, Kampung Pangkalan Kuap, Sekolah Tunaz Bakti, Taman Uni Garden, Taman Samarindah, Kampung Merdang, Kampung Sungai Empit, Kampung Binyuk Lama, Kampung Binyuk Lot, Kampung Sungai Pendam dan Kampung Bukit Berangan serta sumbangan kewangan kepada Jawatankuasa Pengurusan (JKP) masjid dan surau di setiap lokasi tersebut.
Sebanyak enam JKP surau menerima sumbangan RM1,500 setiap satu untuk aktiviti keagamaan, manakala lapan JKP masjid menerima sumbangan RM2,000 setiap satu.
Antara enam surau yang menerima sumbangan ialah Surau Al-Baqarah Skim Pembesaran Jawa Semenggok, Surau Cahaya Islam RPR Batu 12, Surau Darul Taqwa Kampung Sri Arjuna, Surau Darul Iman Taman Samarindah, Surau Kampung Sungai Pendam dan Surau Darul Furqan Kampung Binyuk Lot.
Manakala masjid yang menerima sumbangan termasuk Masjid Darul Ehsan Kampung Jawa Semenggok, Masjid Darul Iman Kampung Sri Arjuna, Masjid Darul Taqwa Kampung Stakan Melayu, Masjid Darul Ibadah Kampung Pangkalan Kuap, Masjid Al Malik Uni Garden, Masjid Ar-Riyadh Taman Samarindah, Masjid Darul Falah Kampung Binyu dan Masjid Darul Malihah Kampung Bukit Berangan.
Pada malam terakhir program, Datuk Hamzah telah menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada JKP Masjid Darul Malihah serta bantuan hari raya kepada 50 asnaf.
Selain itu, beliau juga menyalurkan RM100,000 daripada dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk naik taraf tandas dan bilik istirehat masjid tersebut.
Dalam ucapannya, Datuk Hamzah berharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan asnaf dan menyemarakkan aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan.
"Program ini bukan sahaja bertujuan memberikan bantuan material tetapi juga memperkukuh hubungan komuniti dan semangat keagamaan di kalangan penduduk DUN Stakan," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, yang mencerminkan semangat kebersamaan dalam meraikan bulan yang penuh keberkatan ini.
Turut hadir sama, Penghulu Kampung Pangkalan Kuap Buhari Abu Sapian, Ketua Kaum Kampung Bukit Berangan Rizal Abu Seman, Ketua Kaum Kampung Pangkalan Kuap Sabawi Bahar, Ketua Kaum Kampung Binyuk Lama Zambri Mohi, dan Ketua Kaum Kampung Sungai Pendam Farida Zainuddin.
Program Ramadan DUN Stakan 2025 ini bukan sahaja memberikan impak positif kepada golongan asnaf tetapi juga memperkukuh hubungan sosial dan keagamaan dalam komuniti setempat.-EDISI UKAS