Jambatan Batang Kemena Dijangka Siap Disember 2025

Posted on 24 Mar 2025
Source of News: UKAS


SEBAUH: Pembinaan Jambatan Batang Kemena di Sebauh kini mencapai tahap 64.94 peratus dan dijangka siap menjelang Disember 2025, sekali gus bakal menjadi pemacu utama peningkatan akses dan ekonomi bagi penduduk setempat.

Dengan panjang 728.56 meter dan lebar 12 meter, jambatan yang menelan kos RM74.89 juta ini akan menghubungkan komuniti sekitar dengan lebih selamat dan efisien, menggantikan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri sedia ada.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang turun padang meninjau perkembangan projek itu, menyatakan bahawa walaupun terdapat sedikit kelewatan akibat bencana banjir di Bintulu awal tahun ini, kerja-kerja pembinaan masih giat dijalankan.

Antara komponen utama yang sedang dilaksanakan termasuk pemasangan cerucuk, sistem saliran, serta pengalihan utiliti dan saluran paip.

“Jambatan ini bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi juga kunci kepada pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan Sebauh.

“Ia akan membuka lebih banyak peluang untuk perdagangan, perniagaan serta perhubungan yang lebih baik bagi penduduk,” katanya.

Lawatan itu turut disertai Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Chiew Chee Yau, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Ir. Ts. Gs. Br. PMr. Dr. Cassidy Morris serta beberapa pegawai kanan kerajaan yang lain.-EDISI UKAS