FORUM Perkukuh Perpaduan Orang Ulu Melalui BDC ke-9

Posted on 24 Mar 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak, Malaysia (FORUM) terus memperkukuhkan penyatuan dan peranan masyarakat Orang Ulu menerusi Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-9 (BDC) yang dilancarkan di FORUM Cultural Centre Building, Miri, pada Ahad.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ketua Penasihat FORUM, Datuk Gerawat Gala.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Gerawat Gala menekankan kepentingan perpaduan masyarakat Orang Ulu dalam memperkukuhkan suara mereka dalam arus pembangunan negeri.

“Masyarakat Orang Ulu hanya sekitar 6 peratus daripada jumlah penduduk Sarawak. Jika kita bersatu, suara kita lebih kuat dan lebih jelas didengari.

“FORUM berperanan sebagai platform utama untuk memastikan masyarakat Orang Ulu terus maju dan mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan,” katanya.

Persidangan dwitahunan ini menghimpunkan 152 peserta menjadi wadah penting dalam membincangkan hala tuju FORUM serta memperkasa peranan masyarakat Orang Ulu di Sarawak.

BDC ke-9 kali ini turut menyaksikan pemilihan kepimpinan baharu FORUM bagi sesi akan datang.

Antara persatuan etnik yang bernaung di bawah FORUM termasuklah Persatuan Kayan Sarawak, Persatuan Berawan Sarawak, Persatuan Bisaya Sarawak, Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak, Persatuan Masyarakat Saban Sarawak, Persatuan Lakiput Sarawak, RURUM Kelabit Sarawak, Persatuan Lun Bawang Sarawak, dan Persatuan Pembangunan Tipun Penan Sarawak.

Persidangan ini dijangka akan terus menjadi platform utama dalam memperkukuhkan keunikan budaya serta memperjuangkan kepentingan masyarakat Orang Ulu di Sarawak.-EDISI UKAS