Industri Kreatif Sarawak Terus Diperkasa, Penggiat Seni Digalak Mohon Dana

Posted on 24 Mar 2025
Source of News: UKAS


LAWAS: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasakan industri kreatif negeri melalui sesi Townhall Industri Kreatif yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Lawas, pada Sabtu.

Program anjuran Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu bertujuan mendapatkan maklum balas serta membincangkan inisiatif bagi menyokong penggiat seni dan budaya di negeri ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dalam ucapannya yang disampaikan secara dalam talian menekankan kepentingan industri kreatif sebagai sektor yang berpotensi tinggi dalam menjana ekonomi negeri.

“Kementerian sentiasa komited dalam membangunkan industri kreatif Sarawak yang kaya dengan seni, budaya dan warisan.

"Dengan 34 kumpulan etnik yang ada di negeri ini, setiap satunya memiliki keunikan tersendiri yang boleh dikembangkan menjadi produk kreatif bernilai tinggi,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan Sarawak memperuntukkan Dana Mudahcara Warisan dan Seni setiap tahun bagi membantu penggiat seni dan budaya tempatan.

Sejak 2022, dana yang disalurkan terus meningkat dengan jumlah RM4.63 juta (80 program) pada 2022, RM5.38 juta (73 program) pada 2023, dan RM9.81 juta (134 program) pada 2024.

Sehubungan itu, penggiat seni di Lawas dan Limbang disarankan untuk memanfaatkan dana ini dalam usaha mengembangkan hasil karya serta program berkaitan warisan, seni dan budaya.

Borang permohonan serta panduan mengenainya telah diedarkan kepada peserta yang hadir.

Sesi townhall kali ini juga membincangkan 19 subkategori industri kreatif yang dikenalpasti di Sarawak, merangkumi seni kreatif, warisan budaya, produksi media, reka bentuk dan teknologi maklumat.

Selain itu, keunikan seni warisan etnik di Lawas seperti kraf tangan Lun Bawang, muzik tradisional Kedayan, serta produk kulinari seperti ikan tahai turut diketengahkan sebagai potensi besar dalam industri kreatif negeri.-EDISI UKAS