MIRI: Persatuan Melayu Miri meneruskan tradisi tahunan mereka dengan mengadakan Program Penyerahan Infaq Ramadan 2025 di Bangunan Persatuan Melayu Miri, pada Ahad.
Program yang telah memasuki edisi ke-30 ini bertujuan membantu masyarakat setempat dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Temenggong Bahagian Miri, Temenggong Abang Mohamed Dato Sri Abdul Othman serta Pengerusi Persatuan Melayu Miri, Basar Nasib.
Dalam ucapannya, Basar menzahirkan penghargaan kepada para penyumbang, termasuk individu dan organisasi yang terus menyokong usaha kebajikan ini sejak ia diperkenalkan pada tahun 1995.
“Program ini diteruskan bagi memastikan golongan yang memerlukan mendapat bantuan dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras dan wang tunai.
“Tahun ini, sebanyak 25 kampung menerima sumbangan, dengan setiap kampung memperoleh 23 beg beras seberat 5kg, manakala beberapa kampung lain menerima beg beras 10kg berdasarkan keperluan,” katanya.
Selain penyerahan infaq, majlis ini turut disertai dengan sesi sidang media yang menekankan kepentingan meneruskan usaha kebajikan dalam komuniti Melayu Miri.
Penganjur berharap program ini dapat terus diperluaskan dengan lebih banyak penyertaan dan sumbangan daripada masyarakat bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai penerima pada masa akan datang.-EDISI UKAS