SIBU: Kerajaan Persekutuan digesa untuk segera meluluskan Fasa 5 bagi Projek Tebatan Banjir Sibu agar masalah banjir tidak terus kritikal.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, fasa berkenaan yang dianggarkan menelan kos RM400 juta merangkumi pembinaan tiga stesen pam di sepanjang Sungai Seduan bagi mengawal paras air serta mengurangkan risiko banjir di kawasan utama seperti Jalan Ling Kai Cheng, Apollo dan Jalan Gelama.
"Ini adalah fasa paling mahal dalam keseluruhan program tebatan banjir, tetapi tanpa mengira kos, keutamaan kita adalah keselamatan dan kesejahteraan penduduk Sibu," katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis pelancaran kempen Jualan Bendera Tahunan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cabang Sibu 2025 di Star Mega Mall pada Sabtu.
Menurut beliau, Fasa 4 projek itu kini dalam proses tender dan beliau menggesa kerajaan Persekutuan mempercepatkan kelulusan Fasa 5 supaya projek berkenaan dapat disiapkan segera.
Ujarnya, peruntukan bagi projek ini sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan ia diharapkan diberi keutamaan dan tidak ditangguhkan agar penduduk Sibu tidak boleh menunggu lebih lama lagi.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu turut menegaskan bahawa musim monsun ketika ini bukan sahaja menyebabkan banjir yang menjejaskan satu atau dua bahagian namun seluruh Wilayah Tengah turut terkesan.
“Saya difahamkan, banjir kali ini antara yang paling buruk dalam beberapa dekad, dan kesannya masih belum dapat dinilai sepenuhnya," katanya.
Menurutnya, pasukan bantuan bencana kini digerakkan sepenuhnya di bawah seliaan pasukan penyelamat dan pemantauan rapi sedang dilakukan di kawasan yang terjejas.
Tiang turut menasihatkan mereka yang memerlukan bantuan segera supaya menghubungi Pejabat Residen Sibu atau agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) serta polis.
Selain itu, beliau berkata Pasukan Khidmat N.54 Pelawan sedia menyalurkan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan.
"Jika ada penduduk menghadapi masalah bekalan makanan, mereka boleh menghubungi pasukan saya di talian 012-7609622," katanya. -EDISI UKAS