MIRI: Majlis pelancaran Kenyah Lepo’ Ngkau Charitable Trust (KLNCT) dan doa kesyukuran untuk nenek moyang masyarakat Kenyah Lepo’ Ngkau di Empangan Murum berlangsung dengan penuh adat dan penghormatan di Dynasty Hotel, Miri, pada Sabtu.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.
Dalam ucapannya, Datuk Gerawat menzahirkan penghargaan atas inisiatif masyarakat Kenyah Lepo’ Ngkau dalam menubuhkan KLNCT sebagai wadah menjaga kebajikan dan pembangunan komuniti.
“Hari ini kita bukan sahaja menyaksikan pelancaran KLNCT tetapi juga satu usaha kolektif bagi memastikan warisan dan kebajikan masyarakat terus dipelihara.
“Amanah ini bukan sekadar tabung kewangan, tetapi satu mekanisme pengurusan dana yang berstruktur dan berpanjangan,” katanya.
Beliau turut mengenang perjuangan komuniti itu dalam mendapatkan pampasan bagi tanah perkuburan nenek moyang mereka yang ditenggelami oleh pembinaan Empangan Murum.
Sebagai langkah strategik, masyarakat sepakat menyalurkan pampasan itu ke dalam KLNCT bagi memastikan dana digunakan secara lestari untuk generasi akan datang.
“Saya menyokong keputusan agar dana ini tidak diagihkan secara langsung, tetapi dilaburkan untuk manfaat jangka panjang. Ini langkah bijak kerana dengan pengurusan baik, ia boleh menjadi sumber berterusan bagi projek komuniti,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi KLNCT, Simpson Njock Lenjau, menekankan bahawa penubuhan amanah ini bertujuan memelihara budaya, perpaduan, dan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Lepo’ Ngkau.
“Dengan KLNCT, kita tidak hanya bergantung kepada bantuan luar, tetapi dapat mengurus kebajikan dan pembangunan masyarakat secara sistematik.
“Saya menyeru semua pihak menyokong usaha membangunkan tanah di Bekenu sebagai pusat aktiviti komuniti,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian Datun Julut, doa kesyukuran oleh Catechist Philip Layok, serta simbolik pelancaran dengan pemukulan ‘Kerebok’ sebanyak lapan kali oleh Datuk Gerawat sebagai gimik perasmian.
Pelancaran rasmi KLNCT menandakan permulaan pelbagai inisiatif bagi memperkasa masyarakat Kenyah Lepo’ Ngkau ke arah masa depan yang lebih mampan.-EDISI UKAS