Pendidikan Jadi Keutamaan Pembangunan di Parlimen Selangau

Disiarkan pada 23 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


SELANGAU: Pendidikan terus menjadi fokus utama dalam agenda pembangunan Parlimen P214 Selangau justeru pendidikan bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup penduduk tetapi juga membuka peluang yang lebih luas untuk generasi muda di kawasan tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan pada tahun 2023 dan 2024 sebagai insentif pendidikan kepada pelajar dari Parlimen Selangau yang melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah (PhD).

Inisiatif ini bertujuan memberi galakan kepada pelajar untuk meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) serta membantu keluarga mereka meningkatkan taraf ekonomi melalui pendidikan.

“Melalui pendidikan, kita dapat mengubah masa depan masyarakat. Saya mahu melihat lebih ramai anak-anak Selangau berjaya dalam akademik dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan komuniti,” katanya dalam Majlis Perasmian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dato Penghulu Imban yang berlangsung di Rh Rose Nana, Skim Sekuau, Selangau pada Ahad.

Sejak penubuhan rumah panjang tersebut 50 tahun lalu, JKKK Dato Penghulu Imban telah melahirkan 40 graduan, terdiri daripada 9 pemegang Ijazah Sarjana, 25 Ijazah Sarjana Muda, dan 6 Diploma.

Majoriti mereka kini berkhidmat dalam sektor awam dan swasta, termasuk di syarikat besar seperti PETROS, Petronas, Sarawak Energy, dan SHELL.

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Selangau, yang merangkumi 840 rumah panjang.

Beliau juga mengalu-alukan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf, ke Sekuau bagi Majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan RASCOM.

Dalam pada itu, sebagai sokongan kepada komuniti setempat, beliau mengumumkan peruntukan untuk penggantian atap Rumah Panjang Rh Rose Nana serta sumbangan RM10,000 kepada Biro Wanita rumah panjang tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan, serta pemimpin masyarakat seperti Penghulu Bansa, Penghulu Surang, dan Penghulu Andrewson Ngalai.-EDISI UKAS