Sumbangan Aidilfitri Meriahkan Ramadan di Limbang

Disiarkan pada 23 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Seramai 77 penerima terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal, dan mualaf menerima sumbangan Aidilfitri dalam satu majlis yang dianjurkan oleh PERKIM Cawangan Limbang dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN N.79 Bukit Kota di Masjid Baitul Iman, pada Sabtu.

Majlis yang berlangsung dari jam 10:30 pagi hingga 11:30 pagi itu turut menyaksikan penutupan program Tadarus Al-Quran yang dijalankan oleh ahli-ahli PERKIM sebelum acara penyampaian sumbangan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail menekankan kepentingan memanfaatkan 10 hari terakhir Ramadan untuk meningkatkan amalan ibadah.

Beliau juga memuji usaha PERKIM dalam bukan sahaja menganjurkan program keagamaan, tetapi turut membantu golongan memerlukan.

“Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat, terutamanya golongan B40.

Pelbagai program seperti Bantuan RAHMAH di peringkat Persekutuan dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) di peringkat negeri telah diperkenalkan untuk membantu golongan ini,” katanya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu, kerajaan juga menyediakan bantuan melalui Tabung Baitulmal Sarawak serta Pusat Khidmat N.79 Bukit Kota dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat P.221 Limbang bagi mereka yang memerlukan bantuan pendidikan, perubatan, atau kecemasan.

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian sumbangan kepada penerima yang terdiri daripada 49 anak yatim yang masih bersekolah, 14 ibu tunggal ahli PERKIM, serta 14 mualaf yang baru memeluk Islam.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah merangkap Pengerusi PERKIM Cawangan Limbang, Datin Dayang Maimumah Awang Muhammad Daud, serta beberapa pemimpin masyarakat termasuk Pemanca Sahat Bagol, Penghulu Zahedi Asol, Penghulu Latip Tujoh, Penghulu Yusop Dollah, dan Penghulu Ahmad Mail.-EDISI UKAS