MIRI: Sarawak terus menjadi contoh terbaik keharmonian kaum dan agama di Malaysia dengan rakyatnya yang meraikan pelbagai perayaan bersama dalam semangat perpaduan yang tinggi.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, menegaskan bahawa keunikan ini menjadi asas penting dalam mengekalkan kestabilan dan kesejahteraan negeri.
“Di Sarawak, kita menyambut semua perayaan bersama, seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Gawai Dayak, Krismas, dan Deepavali.
Inilah keunikan cara hidup kita yang penuh dengan semangat muhibah,” katanya ketika menghadiri Program Jualan Rahmah Madani dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Abu Bakar Al-Siddiq, Senadin, pada Sabtu.
Beliau berkata, semangat perpaduan yang diamalkan rakyat Sarawak harus terus diperkukuh agar negeri ini kekal aman dan harmoni.
Selain itu, beliau turut menyertai pengagihan 1,200 pek bubur lambuk, yang ditaja oleh CATSFM dari Kuching, kepada penduduk sekitar sebelum berbuka puasa bersama jawatankuasa masjid serta masyarakat setempat.
Dalam majlis itu, Dato Sri Lee juga menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menganjurkan Program Jualan Rahmah, sekali gus membantu meringankan beban rakyat dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Jualan Rahmah ini diadakan hampir setiap bulan dan kita berharap ia dapat diteruskan kerana manfaatnya yang besar kepada masyarakat, terutama dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat,” tambahnya.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Sarawak dan Malaysia serta menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu dengan berhemah sepanjang musim perayaan bagi mengelakkan kemalangan.
Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengerusi AJKP Masjid Abu Bakar As-Siddiq Desa Senadin, Sabeli Jantan; Penolong Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Miri, Moss Baok; Temenggong Komuniti Melayu, Temenggong Abang Mohamed Dato’ Sri Abang Othman; Penghulu Nasir Rahim; dan Kapitan Chong Ah Muk.-EDISI UKAS