SELANGAU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Selangau pada Sabtu untuk meninjau mangsa banjir yang ditempatkan di situ.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada mangsa banjir.
Semasa lawatan itu, beliau telah diberikan taklimat oleh pihak APM Selangau diwakili Lt.Luke Douglas Dongun.
PPS Dewan Serbaguna Selangau yang dibuka sejak 7.30 malam, semalam menempatkan seramai 28 lelaki dewasa, 31 wanita dewasa, 10 kanak-kanak lelaki, serta 15 kanak-kanak perempuan serta seorang bayi lelaki, lima bayi perempuan, seorang wanita orang kurang upaya (OKU), 10 warga emas lelaki dan 15 warga emas wanita.
Lebih 100 mangsa banjir daripada empat rumah panjang di sekitar Selangau telah ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Selangau hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Selangau berkata, seramai 35 mangsa membabitkan 12 keluarga daripada Rumah Nyarapong manakala Rumah Magdeline melibatkan 14 mangsa, dua keluarga),
Selain itu, Rumah Awa membabitkan 52 mangsa dan 16 keluarga dan Rumah Ambrose seramai 15 mangsa dan dua keluarga.
Turut hadir semasa lawatan itu Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Pegawai Daerah Selangau Yalin Asan serta yang lain. - EDISI UKAS