Pembinaan Pusingan P Legakan Penduduk Jakar, Mudahkan Pergerakan Ke Pusat Bandar

Disiarkan pada 22 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Penduduk Pekan Jakar kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan akan membina Pusingan P (P –Turn) sebagai alternatif bagi memudahkan pergerakan kenderaan dari kawasan itu ke pusat bandar Sarikei.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebelum ini Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii memohon agar lampu isyarat dibina di kawasan tersebut bagi memudahkan penduduk ke pekan Sarikei berikutan P-Turn sedia ada jaraknya terlalu jauh.

“Sebelum ini, penduduk membantah kerana P-Turn itu berada pada jarak kira-kira kilometer. Namun kali ini, kita membina P-Turn baharu yang hanya terletak 500 meter dari simpang Pekan Jakar.

“Saya berharap kerja pembinaannya dapat disiapkan serentak selepas laluan ini dibuka sepenuhnya, dijangka April depan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Pan Borneo Jakar di sini pada Sabtu.

Menurut Datuk Amar Douglas lagi, Kementerian Kerja Raya (KKR) mendapati cadangan pembinaan lampu isyarat untuk kawasan tersebut adalah tidak sesuai.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa mempercepatkan pelaksanaan projek pembinaan jalan Pan Borneo Jakar supaya laluan itu dapat dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.

“Saya dimaklumkan, sebahagian laluan dua hala ini akan dibuka pada 25 Mac iaitu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, manakala selebihnya pada April depan,” tambahnya.

Dalam pada itu, berikutan keadaan cuaca yang sukar diramal ketika ini, beliau mengarahkan semua urusetia pengurusan bencana di peringkat bahagian untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya banjir.

"Kita tidak boleh memandang remeh kemungkinan banjir berlaku, lebih-lebih lagi apabila cuaca kini tidak menentu dan hujan lebat sering kali turun secara tiba-tiba.

“Oleh itu, saya mengarahkan agar semua pusat operasi dan urusetia pengurusan bencana bahagian mengambil langkah awal dan memastikan semua peralatan, logistik dan tenaga kerja berada dalam keadaan bersedia," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Mengulas kejadian banjir yang sedang melanda beberapa bahagian di Sarawak ketika ini, katanya kejadian berlaku di Jambatan Durin adalah kali pertama berlaku.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Dato' Sri Huang Tiong Sii, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, Residen Bahagian Sarikei Datu Michael Ronnie Langgong dan Timbalan Residen Bahagian Sarikei Badjuri Bidin. - EDISI UKAS