Kerajaan Sarawak Suntik RM4 Juta Dana Tambahan Untuk SKMS

Disiarkan pada 09 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) telah menambah dana tambahan sebanyak RM4 juta pada suku pertama tahun 2024 kepada Agrobank untuk Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS).

Untuk rekod, sebanyak 202 permohonan dengan nilai sebanyak RM7.13 juta telah diluluskan melalui SKMS pada tahun 2024.
Penyerahan dana tambahan tersebut telah disempurnakan oleh Penasihat MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais kepada Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank Syed Hairul Anuar Syed Fadzil pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Agrobank pada Khamis.

Majlis itu turut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Dalam pada itu, Agrobank turut meluluskan pembiayaan di bawah projek usaha sama anak syarikat Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak dan Sea Horse Corporation iaitu Rambungan Aqua Life Sdn Bhd.

Ia bagi membiayai projek ternakan udang berskala besar dan komersial.

Simbolik penyerahan geran tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Wilayah Agrobank Sarawak Abdul Halek Abdullah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Rambungan Aqua Life Sim Ing Jye.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh dan Ketua-ketua Jabatan lain.-EDISI UKAS