Sarawak Luaskan Kerjasama Penternakan Lembu Dengan Brazil, Cadang Import & Adakan Kolaborasi Penyelidikan Dalam Industri Ruminan

Posted on 22 Mar 2025
Source of News: UKAS


BRAZIL: Sarawak mengorak langkah untuk meluaskan kerjasama dalam penternakan lembu dengan negara Brazil di mana wilayah ini bercadang untuk mengimport daging lembu dan mengadakan kolaborasi penyelidikan dalam industri ruminan dengan negara berkenaan.

Susulan itu, satu lawatan yang diketuai oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom telah diadakan ke beberapa lokasi penternakan, penyelidikan dan rumah sembelih di Brazil bagi melihat sendiri teknologi dan kaedah yang digunakan.

Mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datu Sirai Daha, Pengarah Veterinar Sarawak Datu Dr Adrian Susin, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Datu Lester Mathew, Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) Joseph Blandoi dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB) Profesor Dr Harry Entebang.

Beliau dalam satu kenyataan media pada Jumaat memberitahu lawatan ini amat penting untuk mempelajari perkembangan industri ternakan ruminan di Brazil, yang terkenal dengan pengeluaran daging lembu yang pesat.

Jelasnya, lawatan kali ini untuk melihat sendiri tahap kebersihan dan tahap bebas penyakit ternakan serta teknologi yang digunakan oleh Brazil memandangkan terdapat permohonan untuk mengimport daging baka lembu Zebu dari negara berkenaan.

Sementara itu, Dato Sri Dr Stephen ketika ditemui media Brazil memberitahu salah satu tujuan lawatan berkenaan adalah untuk mencari ruang kerjasama antara Sarawak dan Brazil, khususnya mempelajari teknologi baharu yang digunakan termasuklah kaedah ‘artificial insemination’ iaitu mengeluarkan sex semen yang menggunakan teknologi ‘embrio transfer’.

“Tujuan kami ke sini adalah untuk mendengar dan melihat sendiri kaedah yang mereka gunakan dalam penternakan lembu, seterusnya mencari ruang untuk mengadakan kerjasama antara Sarawak dan Brazil memandangkan Sarawak mempunyai pusat penyelidikannya sendiri.

“Antara yang menarik perhatian saya adalah kaedah ‘artificial insemination’ yang digunakan di mana kita boleh mengadakan kerjasama penyelidikan dalam perkara ini.

“Kemungkinan kita akan menghantar beberapa pegawai kita ke sini supaya mereka dapat mempelajari kaedah ini seterusnya digunakan untuk penternakan lembu kita di Sarawak,” ujar beliau.

Delegasi dari Sarawak mengunjungi beberapa lokasi utama di Brazil, termasuk perbincangan dengan Kementerian Pertanian, Ternakan dan Bekalan Makanan (MAFA) serta Perbadanan Penyelidikan Pertanian Brazil (Embrapa) yang terlibat dalam kolaborasi penyelidikan industri ternakan.

Selain itu, delegasi ini juga melakukan lawatan ke beberapa loji pemprosesan dan rumah penyembelihan ternakan di Goiania, Uberlandia, dan Uberaba, serta pusat dan makmal ABS Global yang terkemuka dalam teknologi pembiak baka lembu.

Dato Sri Dr Stephen menegaskan misi lawatan ini adalah untuk meninjau peluang-peluang pelaburan dalam industri lembu Sarawak, yang kini masih bergantung kepada import dari Australia dan New Zealand.

Sarawak pada masa ini hanya mempunyai populasi lembu sekitar 22,000 ekor, namun sasaran menjelang 2030 adalah untuk meningkatkan jumlah ini kepada 80,000 ekor dengan kadar sara diri sebanyak 25 peratus. -EDISI UKAS