KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) menyokong kerjasama awam-swasta (PPP) dalam usaha meningkatkan sistem pengangkutan awam negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata kerjasama ini termasuk operasi bas pintar, perkhidmatan bas sungai, serta penaiktarafan terminal bas dan lori yang lebih moden.
Jelasnya, inisiatif ini akan menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam pembelian aset dan pengurusan pengangkutan sekali gus memperkukuh rangkaian perhubungan, keselamatan serta kecekapan perkhidmatan.
“Penyertaan sektor swasta bukan sahaja meningkatkan kemudahan dan sistem pengurusan malah membantu memperbaiki logistik menjadikan pengangkutan awam di Sarawak lebih cekap, mampan, dan mudah diakses,” katanya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Sarawak (SPTC) Bil. 1/2025 yang diadakan di sini pada Sabtu.
Mesyuarat itu turut menjadi platform utama bagi membincangkan cabaran pengangkutan di setiap bahagian negeri, dengan 12 Pengerusi DPTC Bahagian membentangkan isu serta cadangan projek baharu untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Dato Sri Lee menegaskan agar semua bahagian mengemukakan cadangan yang terancang dan berpandangan jauh bagi menangani keperluan jangka pendek serta menjamin kemampanan jangka panjang sektor pengangkutan negeri.
Dalam aspek pengangkutan darat dan logistik, beliau menekankan kepentingan menambah baik rangkaian jalan raya serta meneroka langkah tambahan untuk mengurangkan kesesakan, meningkatkan keselamatan jalan raya dan mempercepatkan penghantaran kargo.
Infrastruktur pejalan kaki serta pengangkutan awam yang lebih cekap juga ditekankan sebagai langkah sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negeri.
Bagi sektor pengangkutan sungai, terutamanya di kawasan luar bandar, beliau menggesa supaya infrastruktur sedia ada dimodenkan dengan mematuhi standard keselamatan serta mengintegrasikan kaedah pengangkutan mesra alam.
Antara cadangan utama adalah penambahbaikan jeti serta pelaburan dalam perkhidmatan bas sungai yang lebih lestari untuk memudahkan perjalanan penduduk luar bandar.
Dalam aspek pengangkutan udara, beliau menyentuh peranan AirBorneo dalam memperkukuh perkhidmatan penerbangan luar bandar serta meningkatkan hubungan serantau.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang termasuk cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Baharu Kuching yang menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang negeri.
Kecekapan kemudahan kargo udara juga dibangkitkan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Semua inisiatif pengangkutan yang dirancang untuk RMK-13 perlu sejajar dengan matlamat pembangunan mampan, termasuk pengurangan pelepasan karbon, penggunaan teknologi hijau serta penerapan sistem pengangkutan moden yang akan memberi manfaat kepada Sarawak dalam jangka panjang,” tambah beliau.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak I (Udara & Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai & Laut), Dato Henry Harry Jinep serta Setiausaha Tetap MOTS, Datu Wong Hee Sieng.-EDISI UKAS