Dato Lukanisman Diberi Tanggungjawab Tangani Isu Kesihatan Di Sarawak

Disiarkan pada 22 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni, diberi tanggungjawab besar untuk menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan di Sarawak susulan pelantikannya bagi menyemak semula jawatan yang belum diisi di negeri ini.

Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, selepas isu kekosongan jawatan dalam sektor kesihatan Sarawak dibangkitkan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, berkata peranan Dato Lukanisman adalah penting dalam memastikan pengisian jawatan kritikal dapat diselesaikan segera.

“Selepas mesyuarat bersama beliau baru-baru ini, mereka telah melantik Dato Lukanisman untuk bertanggungjawab menyemak semua jawatan yang masih belum diisi, terutamanya kita ada lebih daripada 800 jururawat dan Penolong Pembantu Perubatan (PPP) di Semenanjung Malaysia yang mahu pulang berkhidmat di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari PPP di Pusat Jantung Sarawak pada Sabtu.

Datuk Amar Dr Sim menambah, cabaran utama sektor kesihatan Sarawak bukan sahaja terletak pada jumlah kekosongan jawatan, tetapi juga keperluan untuk memenuhi piawaian kebangsaan.

“Seperti yang saya katakan, dari segi bilangan katil di hospital, kita 45 peratus di bawah purata kebangsaan.

“Ini bermakna kita memerlukan lebih banyak katil hospital untuk Sarawak. Kita juga memerlukan lebih daripada 54 peratus bilangan doktor.

“Dari segi katil, hanya 2,000 katil. Dari segi doktor, hanya 2,000 doktor yang diperlukan di Sarawak.

“Ini bermakna kita memang sangat-sangat memerlukan lebih ramai,” jelasnya. —EDISI UKAS