MIRI: Program Sarawak Youth StartUP (SYStartUP) terus berkembang sebagai platform utama dalam memperkasakan usahawan belia di Sarawak.
Sesi Meet & Greet yang diadakan di sini pada Jumaat, dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan), Datuk Ripin Lamat menjadi platform untuk menilai perkembangan peserta serta merangka hala tuju program ini.
Sesi ini menumpukan kepada perkembangan terkini peserta Cohort 1 SYStartUP yang kini berada dalam fasa kritikal membangunkan perniagaan mereka.
Dengan penyusunan semula Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), sokongan terhadap usahawan muda semakin efektif, khususnya dalam aspek pendaftaran perniagaan dan pensijilan kontraktor yang menjadi keperluan utama peserta.
Selain sesi pemantauan, satu dialog terbuka turut diadakan bagi membincangkan cabaran dan isu yang dihadapi oleh usahawan belia.
Dalam majlis itu, Datuk Ripin turut mengumumkan bahawa SYStartUP akan membuka Pejabat Urusan di Kuching yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi peserta mendapatkan bimbingan, sokongan teknikal, serta peluang rangkaian perniagaan.
“Langkah ini diharap dapat meningkatkan keberkesanan program dalam membantu usahawan muda berkembang dan bersaing di pasaran,”katanya.
Lebih menggembirakan, Miri bakal menjadi lokasi seterusnya bagi program SYStartUP, memperluaskan manfaat kepada lebih ramai usahawan belia di kawasan utara Sarawak.
Ini sejajar dengan matlamat program untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing serta memperkukuhkan industri keusahawanan negeri.
Sesi seterusnya dijadualkan berlangsung pada 24 Mac 2025 di Zon Sri Aman dan Betong, diikuti Zon Tengah merangkumi Sibu, Sarikei, Kapit dan Mukah, sebelum berakhir di Zon Kuching yang akan diadakan serentak dengan program ramah tamah Aidilfitri bersama peserta SYStartUP.
Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan dan pihak berkepentingan, SYStartUP bersedia membawa transformasi lebih besar dalam dunia keusahawanan tempatan menjadikan Sarawak sebagai hab pembangunan usahawan belia yang progresif dan berdaya maju.-EDISI UKAS