ADUN Katibas Tinjau Keadaan Mangsa Banjir di PPS Song

Posted on 22 Mar 2025
Source of News: UKAS


SONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan mengadakan lawatan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Song bagi meninjau keadaan mangsa banjir serta menilai keperluan semasa di lokasi berkenaan.

Lawatan yang bermula jam 4 petang itu melibatkan PPS di Balai Raya Song dan Gelanggang Futsal Song yang menempatkan seramai 373 mangsa banjir melibatkan 102 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat limpahan air sungai.

Turut hadir dalam tinjauan tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Wilson Awan serta Pegawai Daerah Song, Harry Bruce Edwin.

Menurut Lidam, beliau amat prihatin dengan keadaan mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke PPS berikutan beberapa kawasan di pekan Song dilanda banjir dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan, antaranya Jalan Depan Pejabat Pos, Jalan Mission, Jalan Stadium, Jalan Seturak dan Jalan depan JKR.

Ujarnya, beliau bersama pihak berkaitan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan meneliti segala keperluan di PPS ini agar kebajikan mangsa sentiasa terjaga.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi ramah mesra bersama mangsa banjir di PPS Balai Raya Song baru-baru ini.

Sehubungan itu, Lidam turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang giat menjalankan operasi pemindahan serta penyelamatan mangsa banjir.

Selain itu, beliau turut memuji keprihatinan masyarakat setempat dan NGO yang tampil menghulurkan bantuan.-EDISI UKAS