BINTANGOR: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol telah mengadakan lawatan kerja di beberapa buah kampung dalam kawasan DUN Semop selama dua hari berturut-turut.
Dalam lawatan pada Jumaat itu, Datuk Abdullah telah mengunjungi Kampung Sebako, Kampung Kut, Kampung Semop, Kampung Sedo, Kampung Serdeng, Tanjung Bundong Bintangor dan Kampung Melayu Bintangor.
Beliau juga telah menyampaikan peruntukan Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Noven, Kampung Perdana Selidap bernilai RM100,000 untuk menyimen perkarangan rumah panjang.
Selain itu, JKKK Tanjung Bundong Bintangor turut menerima peruntukkan Geran Khas MRP bernilai RM 60,769.40 daripada Datuk Abdullah untuk membina sengkuap Dewan Tanjung Bundong Bintangor.
Dalam masa yang sama, Datuk Abdullah turut menyampaikan peruntukan Geran Khas MRP kepada Masjid Darul Ibadah Kampung Tanjung Bundong Bintangor dan Surau Darul Taqwa Kampung Selemas Bintangor bernilai RM6,800 untuk menaiktaraf prasarana masjid dan surau masing-masing.
Pada sebelah petang pula, Datuk Abdullah turut mengadakan perjumpaan bersama Exco PBB Cawangan N.46 Meradong dan Ketua-Ketua Kaum Dan Masyarakat Kampung Melayu Bintangor sempena Penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Tahun 2025 di Kampung Melayu Bintangor.
Manakala untuk Kampung Melayu di Sg Selemas Dan Tanjung Bundong diadakan di Dewan Tanjung Bundong Bintangor. - EDISI UKAS