KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited dalam mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai program, termasuk Majlis Iftar Kasih Ramadan yang diadakan di sini, pada Jumaat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata kementerian dan agensi di bawahnya mengambil pendekatan berterusan bagi memanfaatkan bulan yang penuh keberkatan ini.
“Di peringkat kementerian, kita telah melancarkan Program Ihya Ramadan, 10 siri tazkirah Zohor, Kuiz Ramadan, Program Tadarus dan Khatam Al-Quran serta turut serta dalam World Quran Hour,” katanya dalam ucapan majlis berkenaan.
Tambah beliau, jabatan dan agensi turut giat menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menyemarakkan ibadah Ramadan dalam kalangan warga kementerian.
“Nampaknya, walaupun dalam keadaan berpuasa, warga kementerian kami tetap meriah dengan pelbagai aktiviti dan program,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa ibadah puasa bukan alasan untuk menjadi lemah sebaliknya ia mendidik umat Islam tentang kesabaran, ketahanan, dan keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh 270 orang dari kumpulan sasar di bawah kementerian, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dan kebajikan sepanjang bulan Ramadan.-EDISI UKAS