KOTA SAMARAHAN: Jalan Pan Borneo dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2026.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, kemajuan yang kini masih berada di paras 99 peratus disebabkan isu pengalihan paip di Sibuti.
"Kemajuan yang saya dimaklumkan adalah isu besar di sebelah Sibuti disebabkan pengalihan paip.
"Kerja tidak dapat dibuat sehingga paip baru disiapkan maka sebab itu kemajuan Pan Borneo agak lambat.
"Maka jangkaan di bahagian itu akan siap pada 2026 termasuk di kawasan Jakar, Sarikei yang mempunyai isu kini juga hampir siap.
"Tapi boleh dikatakan Pan Borneo sudah siap sepenuhnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Masjid Darul Sabirin Kampung Empila, pada Jumaat.
Ujarnya, kini fokus utama baharu adalah kepada pembangunan Projek Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) di mana penganugerahan kontrak telah diberikan dengan fasa kini berjalan dengan baik.
"Manakala Projek Trans Borneo yang dihubungi melalui negara Brunei Darussalam bagi menyambungkan jalan ke Lawas dan Limbang.
"Yang ketiga adalah jajaran 'red line' iaitu jajaran di sepanjang jalan Trans Borneo dengan pakej pembangunan dibawah projek tersebut.
"Jalan 'red line' ini adalah jalan raya lama namun standard bagi jalan tersebut tidak sama maka jalan ini perlu dinaik taraf, " tambahnya.
Dalam pada itu, Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyaksikan simbolik penyerahan kemudahan dan sumbangan kepada 159 penerima dengan jumlah sumbangan bernilai RM27,710,693.90
Hadir sama, Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha KKDW Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Residen Kota Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS