
KOTA SAMARAHAN: Perjuangan tuntutan bagi minyak dan gas sudah jelas di bawah Gabungan Parti Sarawak dengan empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof merangkap Naib Yang Di-Pertua Kanan PBB berkata, tiada keperluan untuk PBB menubuhkan satu jawatankuasa dwipartisan bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang tidak difahami tujuan cadangan tersebut.
"Perjuangan sekarang di bawah GPS memang jelas di mana kita dulu konsisten dari dahulu.
"Tetapi saya tidak pasti keikhlasan dan kesungguhan mereka sama ada ikhlas atau tidak tetapi mereka lebih banyak mengkritik GPS maka saya tidak tahu keikhlasan mereka di mana.
"Maka saya anggap taklah (bagi penubuhan jawatankuasa tersebut)," katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Masjid Darul Sabirin Kampung Empila pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sarawak yang mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Dwipartisan minyak dan gas yang dianggotai oleh PBB dan DAP bagi merangka strategi bersama dalam memperjuangkan hak negeri.
Jelasnya, perjuangan minyak dan gas boleh disumbangkan melalui suara di Parlimen.
Dalam pada itu, mengulas mengenai harga barangan dapur yang mencanak tinggi di Sarawak, Dato Sri Fadillah menyarankan agar membuat aduan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Saya akan rujuk kepada Menteri KPDN (Datuk Armizan Mohd Ali) bagi memantau keadaan harga termasuk stok barang dan sebagainya," jelasnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha KKDW Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Residen Kota Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS