KUCHING: Kerajaan kini sedang meneliti keperluan untuk meminda peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak bagi memastikan hukuman yang lebih tegas dan setimpal dapat dikenakan ke atas pesalah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pihak kementerian akan melakukan kajian menyeluruh terhadap pelaksanaan undang-undang sedia ada sebelum membuat sebarang ketetapan mengenai cadangan pindaan tersebut.
“Untuk terus mengatakan undang-undang perlu dipinda, saya perlu meneliti dan mengadakan kajian terlebih dahulu bagaimana hukuman sebelum ini dilaksanakan serta sama ada ia memberi kesan yang sewajarnya.
“Perkara ini memerlukan penelitian kerana kita tidak mahu terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sumbangan Ramadan dan Agihan Bubur Asyura Parlimen Santubong di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak di sini pada Jumaat.
Beliau diminta mengulas kes tular membabitkan seorang bapa tiri di Muar, Johor yang dikenakan hukuman denda RM6,000 oleh mahkamah selepas didapati bersalah merakam dan memiliki bahan lucah berupa video serta gambar bogel anak tirinya yang diambil ketika kanak-kanak itu sedang mandi.
Mengulas lanjut, Dato Sri Nancy menyifatkan hukuman yang dijatuhkan sebagai tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan berharap pihak pendakwa raya akan membuat rayuan bagi menilai semula keputusan tersebut.
“Kita amat berharap agar ada pihak yang mengambil tindakan lanjut berhubung hukuman ini kerana kanak-kanak sebagai mangsa memerlukan keadilan dan perlindungan yang sewajarnya,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa isu penderaan dan eksploitasi seksual kanak-kanak merupakan perkara serius yang memerlukan perhatian semua pihak bagi memastikan pesalah tidak terlepas dengan hukuman ringan.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 160 orang asnaf di kawasan Parlimen Santubong menerima sumbangan berupa bakul makanan sempena Ramadan.
Dato Sri Nancy turut meluangkan masa menyantuni orang ramai dan mengagihkan bubur asyura kepada pengguna jalan raya di hadapan Ibu Pejabat JBPM Sarawak sebagai sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan sempena Ramadan.-EDISI UKAS