BETONG: Seramai 20 orang asnaf di Bahagian Betong menerima sumbangan bakul makanan sempena Program Safari Ramadan 2025 yang diadakan di Ruang Legar Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri Betong pada Khamis.
Program anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Tabung Baitulmal Sarawak itu disempurnakan oleh Ketua Hakim Syarie Sarawak, Yang Amat Arif Datu Awang Suhaili Ledi bersama Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas.
Dalam ucapannya, Datu Awang Suhaili berkata, program sebegini bukan sahaja bertujuan membantu golongan asnaf menjelang Syawal, malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Beliau turut menegaskan komitmen Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak untuk terus memperkasa peranan mahkamah syariah bagi memastikan masyarakat Islam di negeri ini kekal berpegang teguh kepada ajaran agama dan menjalani kehidupan berpandukan syariat.
Sementara itu, Hakim Syarie Bahagian Betong, Norhafizie Kamil dalam ucapannya menyeru umat Islam agar merebut peluang di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini untuk memperbanyakkan ibadah serta meningkatkan amalan kebajikan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada para asnaf oleh Ketua Hakim Syarie Sarawak dan Residen Bahagian Betong yang bertujuan membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Turut hadir ialah wakil-wakil daripada Tabung Baitulmal Sarawak, JAKIM, Kelab Kebajikan dan Rekreasi Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak serta agensi-agensi lain yang terlibat.-EDISI UKAS