MAKSAK Bahagian Sibu Anjur Majlis Berlanggar Meja 11 April Ini

Disiarkan pada 21 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Bahagian Sibu akan menganjurkan Majlis Berlanggar Meja Sempena Sambutan Aidilfitri 2025.

Bertemakan Riang Ria Raya Aidilfitri, majlis ini dijadualkan berlangsung pada 11 April depan, bermula jam 7 malam, di Sri Sibu, Jalan Circular di sini.

Pelbagai pengisian dan aktiviti telah dirancang, antaranya Pertandingan Gerai Raya Agensi Terbaik, Persembahan Lagu Raya oleh Koir MAKSAK, Karaoke Terbuka Lagu Raya, Pertandingan Pakaian Terbaik Jejaka Segak dan Jelitawan Ayu Raya termasuk cabutan bertuah.

Selain itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang dijangka hadir merasmikan majlis tersebut.

Perkara ini dimaklumkan menerusi Mesyuarat Persediaan Majlis Berlanggar Meja Sempena Sambutan Aidilfitri 2025 yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian Sibu merangkap Pengerusi MAKSAK Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Residen Sibu pada Rabu.

Turut serta dalam mesyuarat itu ialah Ketua Seksyen Transformasi Sosial Pejabat Residen Sibu Nursyarmilla Jeruis, wakil Pegawai Daerah Kanowit Casseylia Benet, Ketua-ketua Jabatan agensi yang terlibat serta wakil MAKSAK Wanita Bahagian Sibu.-EDISI UKAS