Projek Jalan Akses Ke Selatan LTAK Libatkan Tiga Jambatan Bernilai RM266 Juta Dijangka Siap Suku Kedua 2025

Disiarkan pada 09 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Projek pembinaan jalan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching melibatkan pembinaan tiga jambatan konkrit yang bernilai RM266 juta dijangka siap pada suku kedua tahun 2025.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia merupakan antara beberapa projek pembangunan infrastruktur sebagai perancangan strategik untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di antara Bandaraya Kuching dan Samarahan.

Menurutnya, projek lain pula adalah membangunkan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang melibatkan laluan pertama bagi Sistem Aliran Transit Automasi (ART) dari Rembus, Kota Samarahan sehingga ke HIKMAH Exchange, Kuching.

“Ini adalah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan kenderaan persendirian dan seterusnya menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Bandaraya Kuching dan Samarahan.

“Selain daripada jajaran jalan raya sedia ada, beberapa jalan alternatif yang menghubungkan Kuching dan Samarahan juga sedang dilaksanakan seperti Jalan penghubung dari Kampung Tanjung Bako sedia ada ke Estet Perindustrian Samarahan (Extension) yang dijangka siap pada 8 Februari 2026 dan jalan penghubung dari kawasan Stutong ke Jalan Datuk Muhamad Musa Samarahan," katanya.

Belau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Khamis.

Menjawab soalan lain, beliau berkata kawasan Stakan termasuk di dalam dua Pelan Pembangunan iaitu ‘Conceptual Plan for Greater Kuching-Samarahan 2016’ dan ‘Greater Kuching Regional Development Plan Study 2050’. -EDISI UKAS