Banjir Jejas Lima Sekolah dan Beberapa Kawasan di Kapit dan Sibu

Disiarkan pada 21 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan beberapa kawasan di Kapit dan Sibu dilanda banjir, termasuk lima buah sekolah yang terjejas teruk di Kapit.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa antara sekolah yang dilanda banjir ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Yong, SK Bena Sut, SK Nanga Kebiaw, SK Nanga Antaroh dan SK Nanga Bena.

“Bagaimanapun, banjir di tiga sekolah iaitu SK Nanga Kebiaw, SK Nanga Antaroh dan SK Nanga Bena sudah mulai surut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Selain sekolah, beberapa penempatan lain turut terjejas termasuk Kampung Muhibah di Jalan Bleteh, Kampung Baru di Jalan Abang Sulaihi, Lorong 7 Jalan Airport dan Nanga Seranau.

Menurut beliau, terdapat kawasan yang turut mengalami gangguan jalan dan bekalan elektrik akibat banjir, termasuk di Sungai Sibau (Rumah Panjang(Rh)John Ramba), Rh. Riti, Nanga Tulie, Pulau Pisang dan Nanga Baleh.

“Saya sudah mengarahkan semua pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu penduduk dalam berdepan bencana banjir buat masa ini,” tambahnya.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita terhadap penduduk yang terjejas serta menasihati orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Tambahnya, beberapa kawasan di Sibu, khususnya di sekitar Jambatan Durin di laluan Lebuhraya Pan Borneo turut mengalami banjir akibat hujan berterusan yang menyebabkan paras air sungai Batang Rajang meningkat dan melimpah ke jalan raya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk memantau keadaan jalan raya yang terlibat, terutamanya di laluan Lebuhraya Pan Borneo.

“Buat masa ini semua jalan tersebut masih boleh dilalui kenderaan termasuk kenderaan ringan.

“Namun, saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar lebih berwaspada dengan situasi semasa dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan semua pihak,” ujarnya.-EDISI UKAS