Majlis Jom Berambeh Sungkei Siska 3.0 SMK Matu Eratkan Hubungan Guru Dan Pelajar

Disiarkan pada 21 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


MATU: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi meluangkan masa menghadiri Majlis Jom Berambeh Sungkei SisKa 3.0 SMK Matu 2025 berlangsung di SMK Matu pada Khamis.

Program ini menghimpunkan semua guru, ibu bapa pelajar asrama, serta anak-anak murid asrama dalam suasana kekeluargaan dan keharmonian menjelang bulan Ramadan.

Dalam ucapannya, Ahmad Johnie menekankan kepentingan menimba ilmu dan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan di masa hadapan.

Beliau turut menyatakan bahawa pendidikan adalah aset utama dalam membangunkan generasi muda yang berdaya saing dan berakhlak mulia.

Ahmad Johnie turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program ini dan berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi manfaat generasi muda di daerah ini.

Program seperti ini katanya bukan sahaja mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa, dan pelajar, malah turut menyemai nilai-nilai kasih sayang, hormat-menghormati, dan kebersamaan dalam kalangan warga sekolah.

Antara atur cara utama dalam majlis ini adalah watikah lantikan kepada guru-guru SISKA, yang bertanggungjawab membimbing pelajar baharu asrama sebagai anak angkat bagi sesi 2025.

Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif di samping memperkukuh hubungan antara guru dan pelajar.

Majlis diteruskan dengan sesi bersungkai bersama-sama yang memberikan peluang kepada semua hadirin untuk menikmati juadah berbuka dalam suasana penuh keakraban.

Turut Hadir Pengetua SMK Matu Shariff Umar, Pengetua SMK Belawai Mohamad Latif Rapili serta YDP PIBG SMK Matu Basmi Mat. - EDISI UKAS