ADUN Kota Sentosa Cadang Ubah Istilah DUN Kepada Parlimen Sarawak

Disiarkan pada 09 May 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin mencadangkan agar istilah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang telah digunakan sejak 1976, diubah kepada 'Parlimen Sarawak'.

Menurut beliau, ia bukan sahaja mencerminkan status Sarawak sebagai salah satu pihak yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), malah untuk memberi pengiktirafan yang lebih sesuai terhadap kedudukan perundangan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

"Dengan menggunakan istilah 'Parlimen Sarawak' ia akan lebih tepat menggambarkan kedudukan Sarawak yang berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19, di sini pada Rabu.

Dalam perbahasan sama, Wilfred turut menyentuh mengenai permasalahan di beberapa kawasan tertentu di konstituensinya yang sering dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan banyak kerugian berlaku.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan penyiasatan sewajarnya bagi mengetahui punca sebenar masalah berkenaan.-Edisi UKAS