GEDONG: Pesta Gedong edisi kedua dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 27 Julai 2025.
Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da’adi berkata, pesta itu dijangka dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
"Pesta Gedong edisi kedua ini bertujuan mengangkat daerah Gedong sebagai destinasi utama sukan regatta di Sarawak serta mempromosikan produk tempatan, terutamanya kraftangan dan hasil tani seperti buah-buahan.
"Selain itu, kita mahu pesta ini akan menjadikan Gedong sebagai destinasi pelancongan domestik yang menarik dalam Kalendar Pelancongan Bahagian Samarahan," ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat penubuhan jawatankuasa kerja bagi Pesta Gedong Edisi Kedua 2025 di sini, pada Rabu.
Mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan persediaan aktiviti dan kos setiap program yang bakal diadakan.
Menurut Tamida, lebih 20 aktiviti menarik dijangka akan memeriahkan pesta, termasuk regata, ‘battle of the band’, pertandingan petaque, beremak pantey, 'batak lampung' , dan e-sport.
Pesta Gedong ini turut diharapkan dapat memperkukuh kedudukan daerah Gedong dalam sektor pelancongan dan membuka peluang perniagaan kepada komuniti tempatan. -EDISI UKAS