JBALB Akan Ganti Paip Lama Di Sarikei, Usaha Kurangkan Kadar NRW

Disiarkan pada 19 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Lebih 300 kilometer (km) rangkaian paip lama di Bahagian Sarikei akan diganti dalam usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh sistem bekalan air luar bandar dan mengurangkan kadar air tidak terawat (NRW) yang tinggi.

Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada Program Penggantian Paip yang kini giat dijalankan di seluruh negeri dengan peruntukan berjumlah RM1.1 bilion.

“Di Sarikei, banyak paip yang masih digunakan kini berusia lebih setengah abad dan kebanyakannya daripada jenis asbestos cement (AC) yang sudah usang serta mudah pecah.

“Ini menyebabkan kebocoran yang menyumbang kepada kadar NRW yang tinggi di luar bandar,” katanya ketika mengadakan sidang media pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2025 JBALB Sarawak, di sini pada Selasa.

Jelas beliau, lebih 300 projek penggantian paip sedang dilaksanakan di seluruh Sarawak, termasuk di Sarikei, dan tempoh kerja-kerja tersebut dijangka mengambil masa antara tiga hingga 10 bulan bagi setiap projek bergantung kepada skala dan lokasi.

Tambah beliau, JBALB turut menggalakkan orang ramai untuk segera melaporkan sebarang insiden kebocoran paip kepada pihak berwajib bagi memastikan tiada pembaziran air berterusan.

Usaha penggantian paip ini juga adalah antara inisiatif penting Kerajaan Sarawak ke arah menjamin akses air bersih dan berkualiti untuk semua rakyat, khususnya di kawasan luar bandar menjelang 2030, katanya lagi.-EDISI UKAS