PEMADAM Agih Bubur Lambuk, Sebar Kesedaran Bahaya Dadah

Disiarkan pada 18 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) meneruskan tradisi tahunan dengan mengadakan Program Pengagihan Bubur Lambuk di Pejabat Daerah Bintulu, pada Selasa.

Program ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat Ramadan melalui amalan kebajikan tetapi juga berfungsi sebagai platform menyampaikan mesej kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah kepada masyarakat.

Sebanyak 350 hidangan bubur lambuk diagihkan kepada komuniti setempat berserta risalah kesedaran tentang bahaya dadah sebagai langkah proaktif mendidik masyarakat mengenai ancaman penyalahgunaan bahan terlarang itu.

Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammad Nizam yang turut hadir dalam program tersebut menegaskan kepentingan inisiatif seperti ini dalam memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, tetapi juga mengingatkan semua pihak tentang tanggungjawab bersama dalam memerangi masalah dadah,”katanya.

Melalui pendekatan santai tetapi berimpak tinggi, PEMADAM terus komited dalam usaha mendidik masyarakat serta memperkukuhkan peranan sebagai organisasi sukarela yang membantu individu mengatasi isu berkaitan dadah.-EDISI UKAS