ADUN Tupong Tinjau Projek Penurapan Jalan, Ziarah Keluarga Bekas Ketua Wanita

Disiarkan pada 18 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman turun padang meninjau kerja-kerja penurapan semula jalan di Lorong Kenanga, Jalan Pinang Jawa, pada Selasa.

Beliau ditemani Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman, serta wakil dari DBKU, Jabatan Pembetungan, dan pihak kontraktor yang terlibat dalam projek tersebut.

Menurut Dato’ Fazzrudin, kerja-kerja penurapan ini dilakukan bagi mempercepatkan pemulihan jalan yang terjejas akibat projek pembetungan sebelum ini, yang telah menyebabkan kesulitan kepada penduduk setempat.

“Saya memahami keluhan penduduk mengenai keadaan jalan yang rosak akibat projek pembetungan ini.

Oleh itu, tindakan segera telah diambil bagi memastikan jalan ini dapat digunakan dengan selesa dan selamat,” katanya.

Sejak minggu lalu, DBKU telah bekerjasama dengan Jabatan Pembetungan dan pihak kontraktor untuk mempercepatkan proses penurapan jalan, termasuk di kawasan Kampung Gita.

Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Selain meninjau projek infrastruktur, Dato’ Fazzrudin turut meluangkan masa menziarahi keluarga seorang bekas Ketua Wanita Ranting Taman Hussein Rahmat, yang meninggal dunia akibat kanser tiroid.

Allahyarhamah menghidap penyakit tersebut selama 11 tahun namun tetap aktif dalam kegiatan masyarakat termasuk membantu semasa pilihan raya meskipun dalam keadaan kurang sihat.

Dalam lawatan tersebut, Exco Wanita Cawangan turut hadir bersama ADUN Tupong dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga arwah.

“Sumbangan ini adalah tanda keprihatinan dan penghargaan atas jasa Allahyarhamah kepada masyarakat.

Semoga keluarganya diberikan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” kata Dato’ Fazzrudin.-EDISI UKAS